Filem Si Badol 1978 atau 1979?

From Wiki Filem Malaysia

Si Badol merupakan kemunculan A.R Badul yang pertama di layar perak. Namun terdapat beberapa info bercanggah di laman-laman maya yang boleh membuat orang ramai keliru. Sebagai contohnya, imdb menyatakan filem ini terbit di tahun 1979, manakala letterboxd dan siar.my menyatakan tahun 1978.

Wikipedia Bahasa Melayu juga tidak memberi kepastian, malah infonya bercampur baur antara tahun 1978 atau 1979. Saya telah membuat sedikit pembetulan pada halaman filem ini di Wikipedia Bahasa Melayu.

Saya mengambil keputusan untuk membuat sedikit penyiasatan atau "fact finding" menggunakan beberapa sumber iatiu:

  • Arkib Singapura (Akhbar)
  • Buku A.R Mustafar
  • Facebook page siar.my
  • Temuramah siar.my bersama A.R Badul
  • Legasi podcast bersama A.R Badul

Menurut A.R Badul sendiri, filem ini mengambil masa 9 bulan untuk penggambaran (shooting) bermula pada tahun 1977.[1] Penerbitnya Deddy M. Borhan berasa tidak yakin filem ini akan berjaya di box office dan membuat keputusan untuk menyimpannya tetapi berubah fikiran setelah melihat A.R Badul disapa para peminatnya.

Berdasarkan artikel "Milah belum puashati dgn lakonannya dlm Nasib Si Badol" bertarikh 12 Februari 1978, pada halaman 7 di Berita Harian Singapura,[2], ianya tepat dengan yang disampaikan A.R Badul, kita boleh pastikan filem ini mula "shooting" pada November 1977.

Ini juga bersesuaian dengan artikel dari siar.my[3] di mana kita tahu tajuk asal filem ini ialah "Nasib Si Badol" tetapi ditukar kepada "Si Badol" pada saat akhir. Mengenai nama Badol ataupun Badul, tahun 70-an ialah dekad yang unik dimana transisi ke ejaan Bahasa Melayu yang baru menggantikan tatabahasa Za'ba berlaku. "Badol" ini ejaan Melayu lama tetapi bunyinya ialah "Badul", sepertimana perkataan "Untuk" dieja sebagai "Untok" di tahun 50-an dan 60-an.

Iklan terawal bagi tayangan filem ini ialah pada 2 September 1978 (Sabtu) di akhbar The Strait Times, pada ruangan iklan di halaman 34. Iklan ini menggunakan nama "Nasib Si Badoh" (kesilapan ejaan), dan tayangan perdananya dijadualkan pada jam 11.30 malam.[4] Kebanyakan filem Melayu premier pada hujung minggu.

Sebagai nota tambahan, Hari Raya Aildilfitri tahun 1978 disambut pada 4 September 1978 bersamaan hari Isnin, dan sudah menjadi lumrah sesetengah syarikat penerbitan filem Melayu menggunakan cuti Hari Raya Aidilfitri sebagai "penggerak" peminat-peminat filem menonton filem mereka.

Kesimpulannya, tayangan perdana filem "Si Badol" ialah pada 2 September 1978 iaitu pada hari Sabtu jam 11.30 malam (night premier) dan ia turut menjadi tayangan sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun itu.

Di masa akan datang, kita akan "fact finding" pula filem kedua beliau, iaitu Pang5 Badol.

Rujukan